25 Oktober 2010

Silap solekan - Wajah tampak lebih tua
















Tiada wanita yang ingin kelihatan lebih tua dari usianya. Sebab itulah, salah satu faktor kenapa ramai yang menggunakan pelbagai produk kecantikan wajah demi merawat wajah supaya sentiasa kelihatan awet muda.

Malah hingga kini wanita yang tidak pernah berhenti dari mencari formula atau kaedah solekan supaya wajah tampil lebih muda dari usia sebenar. Bagi mereka yang sedia memiliki wajah ‘baby face’ sejak awal mahupun kulit wajah yang sihat tanpa sebarang celaan pasti amat bersyukur dengan kurniaan tersebut.

Namun, bagi mereka yang tidak bernasib baik, tentu terpaksa mencari kaedah terbaik untuk kelihatan menarik dan awet muda. Justeru, dalam merias wajah, pastikan anda berhati-hati kerana ada beberapa perkara dalam berdandan yang boleh menyebabkan wajah anda nampak lebih tua 5-10 tahun.

Alas bedak yang tebal
Mekap yang terlalu tebal menjadi salah satu sebab seseorang wanita itu boleh nampak lebih tua daripada usia asal anda. Justeru, untuk mengelakkan hal ini, anda harus menghindari memakai bedak asas yang terlalu tebal di wajah anda.

Anda boleh memilih yang tipis dan setelah mengaplikasikannya ke wajah, tekan-tekan lagi dengan berus yang lembap terutama di sekitar wajah yang mempunyai kedutan supaya dapat menyerap lebihan alas bedak di bahagian berkenaan.

Semakin banyak kulit yang boleh ditunjukkan adalah semakin baik. Sekiranya kulit anda cukup lembap, kulit yang segar akan terlihat lebih awet muda daripada kulit yang tertutup dengan pelbagai produk kecantikan.

Bedak asas yang terlalu terang
Selain bedak asas yang tebal, warnanya yang lebih pucat daripada warna kulit asal juga akan lebih menampakkan garis-garis halus pada wajah.

Buat mereka berumur, sebaiknya pilih warna yang lebih gelap warna asal kulit anda iaitu satu atau dua tingkat lebih gelap dari warna kulit. Formula itu akan membuat kulit wajah anda nampak bersinar.

Silap sapu penggaris mata
Sapuan penggaris mata di garis mata bahagian bawah hanya akan membuatkan mata anda nampak lebih kecil. Selain itu, ia juga akan menarik perhatian orang lain terhadap lingkaran hitam di bawah mata anda. Sebaiknya, aplikasikan saja penggaris mata di garis mata bahagian atas dan pastikan garisnya semakin menebal ke sudut mata.

Pemerah pipi pada tulang pipi
Hati-hati menyapu pemerah pipi terutama pada tulang pipi kerana ia akan menampakkan kulit yang sudah kendur. Justeru, tambahkan warna-warna pada titik tertinggi pada tulang pipi anda. Pastikan tidak terlalu dekat ke arah hidung dan naikkan ke atas dengan berus yang cukup besar untuk menutupi seluruh tulang pipi.

Selain itu, hindari pemakaian warna yang terlalu glamor. Warna-warna seperti emas dan coklat tua akan membuat wajah anda nampak tirus jika anda bertubuh kurus, sebaliknya bagi mereka yang berwajah bulat, pasti akan terlihat seperti badut. Warna-warna natural seperti merah jambu muda menjadi pilihan terbaik bagi apa pun warna kulit wajah anda.

Salah gula bedak tabur
Bedak tabur berfungsi untuk mengurangkan minyak yang boleh menyebabkan hidung atau dagu anda berkilap. Begitu pun, pada bahagian lain, penggunaan bedak tabur boleh menampakkan kedutan lebih jelas selain membuat kulit wajah nampak kering. Justeru, hindari pemakaian bedak tabur di bahagian daerah mata.

Pembayang mata yang berkilat di hujung mata
Kadang-kadang sedikit kilauan boleh mencantikkan mata dan membuat solekan pada mata kelihatan terlalu sederhana. Namun, bagi mereka yang lebih berumur, kilauan di hujung mata dapat menjelaskan lagi garis halus atau kedutan. Jika anda ingin solekan lebih bersinar, sapukan ia di sudut bahagian dalam iaitu di bahagian tengah kelopak mata dan pada sekitar tulang kening.

Penggunaan maskara
Melapisi bulu mata bahagian bawah dengan maskara akan menampakkan garis-garis halus dan kedutan pada sudut luar mata serta lingkaran hitam di bawah mata.

Hindari menyapu maskara banyak kerana ia akan mudah bergumpal. Bulu mata semakin kering ketika usia seseorang itu kian bertambah. Jadi, maskara akan lebih mudah bertompok di wajah anda. Oleh itu pastikan anda tidak lupa untuk menyepit bulu mata agar mata nampak lebih besar dan ia juga membantu membuat anda nampak lebih muda.

Lipstik yang terlalu menonjol
Warna lipstik yang terlalu terang, terlalu gelap atau warna metalik tidak sesuai bagi bibir yang nipis. Pilihlah warna-warna merah yang natural. Selain itu, anda boleh mempertimbangkan untuk menggantikan lipstik dengan pengilat bibir berwarna yang dapat membuat bibir anda nampak penuh.

Cantik di hati:
Jangan mengukur kebijaksanaan seseorang hanya kerana kepandaiannya berkata-kata tetapi juga perlu dinilai buah fikiran serta tingkah lakunya. Sesungguhnya apa yang kita lihat serupa sebenarnya tidak semestinya sama.

Tiada ulasan: